Lebih 11,300 anggota polis bertugas pada pilihan
raya
by Jessica Jawing. Posted on April 6, 2011, Wednesday
BERSIAP SEDIA:Hishammuddin semasa sidang media berhubung Pilihan Raya Negeri akan datang di IPK, semalam. Turut kelihatan Abu Seman (kiri) dan Mohmad (kanan).
KUCHING: Persiapan Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini berada dalam keadaan cukup baik dengan jumlah lebih 11,300 anggota sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-10 Sarawak.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata jumlah itu turut dibantu dan disokong oleh pasukan daripada pasukan polis dari Sabah.
Ia menurut beliau bagi memastikan semuanya berjalan dengan lancar dan mencukupi khasnya bagi kawasan yang dianggap panas.
“Kita berharap ia (anggota) mencukupi namun kita ada ‘back up’ sekiranya ada keperluan,” katanya pada satu sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Sarawak di sini, semalam.
Beliau dalam pada itu terus mengingatkan kepada pihak yang berkempen agar sentiasa menjaga keharmonian, keselesaan dan keamanan di negeri ini terutamanya kepada mereka yang datang dari luar.
“Tidak kira dari parti mana, apapun isu yang boleh menimbulkan kekeruhan, berbau perkauman, keagamaan dan beremosi ia perlu dibendung,” katanya.
Beliau memberitahu biarkan (pengundi) melalui proses demokrasi dan menjalani pilihan raya negeri dengan selesa selain menunaikan tanggungjawab tanpa diganggu oleh mana-mana pertimbangan.
“Bagi pihak KDN dan PDRM, saya agak berpuas hati dengan persiapan yang telah dilakukan tetapi pada masa yang sama mereka (polis) berada dalam keadaan siap sedia sekiranya ada insiden yang tidak diingini berlaku,” katanya.
Beliau memberitahu terdapat tidak lebih daripada enam kawasan dikenal pasti kawasan panas dan majoriti kawasan bandar.
“Kita sudah hadapi 17 pilihan raya kecil, sedikit sebanyak kita dah tahu faktor yang boleh mencetuskan kehangatan di kawasan berkenaan.
“Misalnya jumlah calon kawasan yang melebihi dua calon juga mungkin menjadi satu faktor baru di pilihan raya negeri..dan ia telahpun kita ambil kira,” tegasya.
Apapun kata Hishammuddin kehadiran polis secara fizikal di setiap kawasan akan mengingatkan kepada pihak berkempen supaya sentiasa berpada-pada dalam meraih sokongan dan simpati.
Hadir sama Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Wira Abu Seman Yusop dan Pesuruhjaya Polis Negeri, Datuk Mohmad Salleh.
No comments:
Post a Comment